Paderi Ortodoks Greek ditembak dalam gereja di Perancis

Paderi Ortodoks Greek ditembak dalam gereja di Perancis

Paderi terbabit ditembak 2 kali semasa menutup gereja dan kini dirawat kerana kecederaan yang mengancam nyawa, kata sumber polis.

Motif serangan ke atas seorang paderi Ortodoks Greek di bandar Lyon, Perancis belum dikenal pasti dan pegawai juga tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa ia berkait dengan aktiviti keganasan. (Gambar Reuters)
PARIS:
Seorang paderi Ortodoks Greek cedera parah selepas ditembak di sebuah gereja di bandar Lyon, Perancis oleh seorang penyerang yang kemudiannya melarikan diri, menurut sumber polis dan kenyataan saksi.

Motif serangan belum dikenal pasti beberapa jam selepas serangan berlaku dan pegawai juga tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa ia berkait dengan aktiviti keganasan.

Sumber pihak polis dan kehakiman berkata, pendakwa raya anti keganasan tidak dipanggil.

Paderi terbabit ditembak 2 kali semasa beliau menutup gereja dan kini dirawat kerana kecederaan yang mengancam nyawa, menurut sumber polis.

Saksi berkata, gereja berkenaan, yang terletak di pusat bandar itu adalah gereja Ortodoks Greek.

Sumber polis berkata, paderi itu merupakan warganegara Greece dan memberitahu perkhidmatan kecemasan bahawa beliau tidak mengenali penyerang.

Seorang pegawai kerajaan Greece mengenal pasti paderi tersebut sebagai Nikolaos Kakavelakis.

Seorang suspek ditangkap beberapa jam selepas kejadian di sebuah kedai kebab yang terletak di Lyon dan kini ditahan, menurut sumber polis.

Masih tiada pengesahan individu terbabit merupakan suspek serangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.