Keluarga komando cedera parah tuntut keadilan, gesa Bukit Aman siasat

Keluarga komando cedera parah tuntut keadilan, gesa Bukit Aman siasat

Abdul Hamid Talib kini dirawat di hospital selepas didakwa mengalami kecederaan serius di kem tentera Mersing, kata peguam N Surendran.

surendran
N Surendran (tengah) berkata undang-undang melarang anggota tentera dipukul dan hanya membenarkan hukuman seperti tahanan atau kawad.
PETALING JAYA:
Keluarga anggota seorang komando menggesa Bukit Aman menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat dakwaan kejadian pukul ketika latihan di Kem Sri Iskandar, Mersing, Johor, sehingga menyebabkannya cedera parah.

Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran yang mewakili keluarga Abdul Hamid Talib itu berkata kes berkenaan perlu diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh, manakala pihak bertanggungjawab mesti didakwa di mahkamah.

Katanya, keluarga juga menuntut Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan menjelaskan perkara sebenar, menggantung tugas semua anggota yang terbabit, serta menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Surendran berkata, keluarga Hamid dari Sabah masih belum menerima penjelasan bagaimana mangsa boleh mengalami kecederaan itu, walaupun laporan polis sudah dibuat di IPD Mersing pada 14 Mac lalu.

Menurutnya, keluarga hanya dimaklumkan bahawa Hamid ‘terjatuh’ pada 11 Mac.

“Dia mengalami kecederaan sangat serius, sehingga sebahagian tengkoraknya terdedah, dipercayai akibat hukuman yang dikenakan di kem berkenaan. Ia dikatakan sebagai sebahagian daripada latihan atau disiplin, tetapi kita belum mengetahui fakta sepenuhnya.

“Hamid kini tidak sedar keadaan sekeliling, tidak boleh bercakap, dan hanya mampu makan serta bernafas menggunakan tiub. Walaupun boleh membuka mata, dia tidak memberi sebarang tindak balas kepada keluarganya,” katanya.

Hamid yang berusia 25 tahun adalah anak ketujuh daripada lapan beradik. Dia kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Surendran berkata di bawah Peraturan-Peraturan Hukuman Medan Angkatan Tentera 1976, anggota tentera tidak boleh dipukul sebagai hukuman, sebaliknya hanya hukuman tahanan atau kawad dibenarkan.

Ibu Hamid, Josmah Duim, berkata anaknya tidak pernah mengadu dipukul sebelum ini dan sering menghantar mesej kepadanya mengenai perkembangan kerja serta tugas harian.

“Sebagai ibu, saya tuntut keadilan. Saya tidak boleh terima apa yang berlaku kepada anak saya.

“Saya sedih dan trauma kerana malam sebelum kejadian, dia masih sempat membuat panggilan video dengan saya dan adiknya,” katanya.

Seorang lagi peguam, Suzana Norlihan, berkata pegawai penyiasat memaklumkan keluarga dua minggu lalu bahawa kes itu akan dirujuk kepada Bukit Aman dan timbalan pendakwa raya.

Hamid menyertai tentera pada Julai 2023 dan ditauliahkan sebagai komando penuh pada 2024. Beliau kemudian berkhidmat dengan Rejimen Komando ke-22.

Keluarga itu berkata mereka akan membuat satu lagi laporan polis di IPD Petaling Jaya hari ini bagi memohon kes berkenaan diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.