
Noor Aziah Mohd Awal berkata, kebanyakan ibu terpaksa memilih sama ada melahirkan anak yang akhirnya tidak memperoleh kewarganegaraan di luar negara atau pulang ke Malaysia tetapi terpisah daripada pasangan mereka selama beberapa bulan.
“Ketidaktentuan bagi anak dilahirkan ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan asing benar-benar membimbangkan kerana ia memberi kesan jangka panjang terhadap anak-anak apabila meningkat dewasa,” kata Noor Aziah dalam webinar dianjurkan Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG) sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Pengasas bersama FSSG Bina Ramanand berkata, kumpulan fokus mendapati kebanyakan kanak-kanak dilahirkan ibu warga Malaysia dibesarkan dalam bilik hotel di luar negara dan mereka tidak mempunyai akses kepada vaksinasi atau pendidikan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) selama 6 bulan.
Beliau berkata, terdapat 205 ibu melaporkan pasangan mereka terkandas di luar negara pada Ogos, dengan 44 daripadanya sama ada mengandung atau membesarkan bayi yang baru dilahirkan tanpa bapa mereka.
Noor Aziah berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara memberikan kewarganegaraan kepada anak mereka.
Akibatnya, beliau berkata kebanyakan ibu pulang ke Malaysia bersendirian ketika pandemik untuk memastikan anak mereka diberi kewarganegaraan.
Kegagagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka perlu melalui proses permohonan yang mengambil masa lama dan kadar kelulusannya juga rendah.
“Kerajaan harus memudahkan permohonan pemastautin tetap dan kelulusan bagi mengelak kesusahan dan kesukaran ekonomi dihadapi pasangan asing,” katanya.
Beliau berkata, pasangan asing terpaksa memasuki Malaysia melalui pas lawatan sosial jangka panjang yang melarang mereka mencari pekerjaan sehingga setahun.
Beliau menggesa Putrajaya menghapuskan sekatan pekerjaan bagi warga asing kerana ia akan memberi impak negatif terhadap pendapatan keluarga serta menghalang pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh berkata, kurangnya kerjasama daripada kementerian dalam negeri menyebabkan tunggakan permohonan kewarganegaraan tahun lalu.
Beliau berkata, kementerian dalam negeri bawah Muhyiddin Yassin ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa hanya bersetuju menyelaraskan permohonan baharu dan ia menyebabkan sekitar 40,000 permohonan sedia ada masih belum diselesaikan.
“Dengan keadaan di Parlimen sekarang, saya rasa kita tidak akan dapat melihat cadangan pindaan dibawa oleh kementerian dalam negeri dalam masa terdekat,” katanya memaklumkan isu itu akan dibangkitkan semasa perbahasan peruntukan bagi kementerian berkenaan.