Kerajaan digesa lanjut pengecualian sewa PPR, PA

Kerajaan digesa lanjut pengecualian sewa PPR, PA

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang membuat desakan itu susulan kedudukan ekonomi negara masih berada pada tahap genting yang menyebabkan banyak pihak terjejas.

Pengecualian 6 bulan bayaran sewa perumahan awam berakhir bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa melanjutkan tempoh pengecualian pembayaran sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) 6 bulan lagi hingga Mac tahun depan.

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, membuat desakan itu susulan kedudukan ekonomi negara masih berada pada tahap genting yang menyebabkan banyak pihak terjejas.

“Kebanyakan rakyat masih hidup dalam keadaan yang tertekan, aktiviti ekonomi negara juga belum pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

“Pengecualian pembayaran sewa PPR dan PA untuk 6 bulan hanya melibatkan kos sebanyak RM3 juta. Jumlah kos ini tidak besar untuk sesebuah kerajaan, tetapi akan dapat membantu puluhan ribu penyewa. Maka, kerajaan harus memberi pertimbangan yang serius atas saranan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memetik data Jabatan Perangkaan, menunjukkan Malaysia negara yang mengalami kemelesetan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara Asean, iaitu penyusutan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 17.1% pada suku ke-2 tahun ini.

“Kadar pengangguran pada Julai tahun ini adalah 4.7% (seramai 745,100 orang menganggur), berbanding kadar pengangguran 3.3% (524,800 orang menganggur) pada Julai 2019. Ogos 2020 juga mencatatkan kadar pengangguran sama seperti Julai, iaitu 4.7%,” katanya.

Beliau berkata, ia jelas menunjukkan rakyat masih berada dalam keadaan tertekan dan tidak stabil dari segi kewangan.

Chang berkata, puluhan ribu penyewa PPR dan PA merupakan golongan B40 yang menghadapi masalah kewangan paling ketara dalam kemelut ini.

“Bayaran pinjaman bank selepas tamatnya moratorium sudah memberi kesan kewangan yang cukup besar ke atas keluarga ini yang berpendapatan kecil. Kalau kerajaan enggan lanjutkan tempoh pengecualian sewa untuk mereka, ramai dalam kalangan mereka akan menderita,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menerusi pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac mengumumkan pengecualian pembayaran sewa selama 6 bulan bermula April hingga September bagi penyewa PPR serta PA bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.