
Seorang jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) memberitahu FMT, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan selain menambah tindakan selanjutnya akan diambil kerana hasil siasatan mendapati pembuangan di lokasi terbabit adalah masalah yang berulang.
Akhir bulan lalu, JPS membuat satu pemantauan lokasi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Daerah Petaling dan Kumpulan Semesta, sebuah syarikat yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sungai.
Ia dibuat susulan terdapat aduan penduduk TTDI Jaya mengenai pembuangan sampah konkrit dan makanan di lokasi tersebut.

Jurucakap itu tidak memberikan perincian mengenai tindakan lanjut yang akan diambil, tetapi berkata: “Pejabat daerah dan JPS akan memantau kawasan itu dari semasa ke semasa. Kita telah ambil maklum isu ini. Namun, kerjasama semua pihak, termasuk orang awam, diperlukan untuk melindungi sungai dan persekitarannya.”
Dalam pada itu, seorang penduduk TTDI Jaya, Zabri Mokthar berkata, pembuangan sampah haram telah berlaku sejak lebih 2 tahun lalu.
Jelasnya, dia kali pertama terserempak dengan timbunan sampah itu ketika berjalan di tepi sungai pada 2018. Dia, kemudian merakam video aktiviti pembuangan sampah itu dan membuat laporan kepada MBSA.

Baru-baru ini, Zabri sempat menunjukkan wartawan FMT lokasi aktiviti haram itu, yang terletak kira-kira 500m dari jalan utama.
“Mereka bukan buang sisa-sisa pembinaan sahaja,” katanya. “Ada juga sisa lain. Macam kalau boleh tengok ini, lalat pun ada.”
Zabri, yang memuat naik video pembuangan haram itu di media sosial, berkata penduduk juga turut mengadu tentang pertambahan lalat di kawasan itu. .
Dia bimbang cecair dari sampah itu akan mengalir ke sungai.
“Saya juga bimbang pembuangan sampah haram ini akan menyebabkan sungai semakin cetek dan lebih sempit, dan lepas itu, banjir kilat,” katanya.
Zabri berkata dia juga ada menyaksikan jentera pengorek digunakan untuk menolak sampah lebih dekat ke sungai bagi memberi ruang untuk sampah baru.

“Mereka tak fikir kesan panjang kepada alam sekitar dan kehidupan kita,” katanya.
Seorang lagi penduduk, yang tidak mahu dinamakan, berkata aktiviti pembuangan sampah dilihat jarang berlaku selepas video yang dimuat naik Zabri di media sosial mula mendapat perhatian.
Namun, katanya, dia yakin pelakunya akan kembali selepas keadaan kembali reda.
Katanya, dia melihat lori membawa sampah memasuki dan meninggalkan kawasan itu melalui 1 jalan yang tidak mempunyai tanda.