Jurutera JPS mengaku tak salah minta suapan

Jurutera JPS mengaku tak salah minta suapan

Mohamed Rizal Salim, 40, didakwa meminta suapan RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat pada 25 Mac 2022.

Mohamed Rizal Salim
Jurutera JPS, Mohamed Rizal Salim, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan meminta suapan RM13,000 daripada seorang pengarah syarikat, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Rizal Salim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa sebagai jurutera awam Gred J41 secara rasuah meminta RM13,000 daripada pengarah syarikat berusia 59 tahun sebagai dorongan untuk meluluskan kerja perolehan di JPS Daerah Barat Daya kepada perniagaan digunakan individu itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jurutera JPS Daerah Barat Daya, pada 25 Mac 2022.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 bersama syarat tambahan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berdekatan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan 8 Ogos depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.