
Ketua Polis Baling Azmi Mokhtar berkata, mayat ditemukan kira-kira 3.15 petang tadi oleh ahli keluarga kanak-kanak autistik itu yang melakukan pencarian di tepi tebing sungai.
“Mayat ditemukan kira-kira 500m dari rumah mangsa di kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kampung Landak Paya, Kupang,” katanya, lapor Berita Harian.
Tambahnya, mayat dipercayai Muhammad Fayyad Affan berdasarkan keadaan fizikalnya, dan bedah siasat dijangka dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, esok.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan semalam, pihaknya turut melakukan pemantauan di kawasan Sungai Kupang hari ini.
Katanya, sebelum ini pihak bomba turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani untuk melakukan pencarian di lokasi sejak Jumaat lepas.
Beliau berkata, pihaknya bertemu ahli keluarga mangsa di rumah mereka sejak pagi tadi untuk mengetahui perkembangan lanjut berhubung Muhammad Fayyad.
“Sebaik menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak, kami terus ke lokasi,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini kehilangan Muhammad Fayyad Affan disedari selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kanak-kanak itu berjalan sendirian pada kira-kira 12.50 tengah hari.
Keluarga mangsa membuat laporan polis sebelum operasi SAR dilakukan pada hari sama, membabitkan pelbagai agensi termasuk bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.