
Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia dan Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia berkata, mereka menyokong tindakan yang akan mengekang penularan Covid-19, tetapi “keliru” dengan perubahan masa operasi secara tiba-tiba kerana semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga pukul 2 pagi.
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan perintah tutup pada pukul 11 malam, semalam.
Beliau berkata, perintah itu sejajar dengan larangan kerajaan yang sedia ada ke tas semua kelab malam dan bar.
Bagaimanapun pengusaha menggesa Amirudin mengkaji semula perubahan itu dengan segera dan membenarkan semua jenis perniagaan beroperasi menurut waktu operasi yang biasa, terutamanya industri makanan dan minuman bagi menghalang kerugian lebih jauh.
Mereka berkata “tutup operasi pada pukul 11 malam tiada kaitan dengan langkah yang diperlukan bagi mengekang penularan wabak”, dengan menambah bahawa kepatuhan pada SOP secara ketat lebih berkesan dalam mengekang Covid-19.
“Kami percaya perubahan waktu operasi secara tiba-tiba bagi kategori perniagaan yang terpilih bukanlah solusi, tetapi melemahkan usaha untuk pulih, hidup semula dan bertahan semasa ekonomi mula dibuka semula,” tambah mereka.
Kumpulan tersebut juga berkata, tiada korelasi antara waktu operasi restoran-bar dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.