Selangor lulus bantuan sewa rumah fasa ketiga kepada mangsa Putra Heights

Selangor lulus bantuan sewa rumah fasa ketiga kepada mangsa Putra Heights

Exco Borhan Aman Shah berkata ia membabitkan 123 ketua isi rumah dengan peruntukan berjumlah RM738,000 bagi Oktober hingga Disember ini.

Massive gas pipeline fire
Keadaan rumah penduduk Putra Heights yang rosak akibat letupan dan kebakaran saluran paip gas pada 1 April lalu. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor meluluskan bantuan sewa rumah sementara fasa ketiga kepada mangsa kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah, berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam susulan laporan pejabat daerah berhubung keperluan bantuan sewa rumah bagi 123 ketua isi rumah (KIR) dengan peruntukan berjumlah RM738,000 bagi tempoh Oktober hingga Disember ini.

“Pembayaran bantuan ini akan disalurkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dalam masa terdekat,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan kebajikan mangsa kebakaran sentiasa diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat kembali ke rumah apabila keadaan benar-benar pulih dan selamat.

Seramai 365 KIR menerima bantuan sewa rumah sementara fasa pertama (April hingga Jun) membabitkan peruntukan sebanyak RM2,190,000.

Fasa kedua (Julai hingga September) pula membabitkan 144 KIR dengan jumlah peruntukan RM864,000.

Kebakaran dan letupan saluran paip gas pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.