523 individu ingkar PKP, 75 PATI ditahan, kata Ismail

523 individu ingkar PKP, 75 PATI ditahan, kata Ismail

Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam yang menyaksikan 356 individu ditahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, 98 sekatan jalan raya Operasi Benteng dijalankan semalam melibatkan polis, tentera dan agensi penguatkuasaan lain.
PETALING JAYA:
Polis menahan 523 individu semalam atas pelbagai kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sudah memasuki hari ke-194 pelaksanaannya, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 483 individu dikompaun oleh pihak polis, manakala 40 lagi dikenakan tindakan reman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP, termasuklah aktiviti dalam pub dan kelab malam, iaitu seramai 356 individu yang ditahan, penjarakan fizikal (105) dan tidak memakai pelitup muka (38).

“Bukan itu sahaja, gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (20) dan tangkapan pendatang asing tanpa izin (4),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, pasukan petugas operasi pematuhan yang diketuai polis juga membuat 45,847 pemeriksaan sehingga semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 2,424 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,244 anggota membuat pemantauan di 3,213 pasar raya, 3,893 restoran serta 1,017 penjaja, 1,011 kilang, 2,896 bank dan 520 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 903 terminal pengangkutan darat, 207 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Pada masa sama, Ismail memberitahu menerusi Operasi Benteng yang dilaksanakan, 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap semalam.

“Turut berjaya dirampas 3 kenderaan darat. Sebanyak 98 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (76 SJR), AKSEM (10 SJR) dan tentera (12 SJR),” katanya.

Tambahnya, Putrajaya akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan sempadan, terutamanya di lorong tikus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.