
Hobi anda membosankan? Apa kata cari hobi baru dan kali ini cuba cabar diri dengan melakukan hobi yang agak lasak. Siapa kata wanita tidak sehebat dan setanding lelaki!
1. Memancing
Memancing kini sudah semakin diminati oleh golongan wanita. Berbanding dahulu, jumlah pembabitan wanita terhadap aktiviti ini semakin bertambah. Ada juga yang menjadikan ia sebagai riadah hujung minggu bersama keluarga.
Bukan sekadar meletakkan cacing di cangkuk dan melontar tali joran ke air sahaja, wanita kaki pancing juga semakin bijak memilih lubuk ikan dan jenis umpan yang perlu digunakan.
Memancing juga dapat memberi ketenangan selain kepuasan apabila tali joran direntap ikan dan berjaya menaikkan ikan ke darat setelah lama menunggu.

2. Memanah
Hobi ini menyeronokkan kerana ia menggunakan teknik koordinasi mata dan tangan anda. Jika dahulu, ia mungkin dianggap hobi orang ‘berada’ tetapi kini tidak lagi. Semakin ramai kaum wanita telah menceburi hobi memanah dan menjadi begitu mahir sekali.
Bukan sekadar riadah tetapi memanah boleh menjadi terapi minda dan melatih emosi serta fizikal untuk meningkatkan daya tumpuan terhadap sesuatu perkara. Malah, ia mendorong sistem pernafasan membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan.
Ada 2 acara memanah yang boleh dilakukan iaitu cara tradisional dengan menggunakan busur dan anak panah atau memanah cara moden yang menggunakan banyak bantuan peralatan termasuk bantuan pandangan.

3. Futsal
Wanita dan futsal kini sudah tidak asing lagi. Bukan sekadar remaja tetapi ramai juga wanita bekerjaya yang menjadikan futsal sebagai hobi selepas penat bekerja atau hobi hujung minggu.
Aktiviti lasak ini memerlukan banyak tenaga untuk berlari dan kelincahan mengejar bola. Ia sekaligus memberi manafaat kepada kesihatan dan mental juga meningkatkan daya tumpuan.
Futsal juga dapat meringankan tekanan dan menurunkan depresi serta melatih otak untuk membuat keputusan dengan cepat.

4. Mendaki
Menghirup udara segar sambil menikmati keindahan alam semulajadi adalah salah satu cara untuk menghilangkan tekanan. Dengan mendaki, anda dapat melakukan ini semua sambil belajar menghargai kehidupan alam semulajadi.
Nampak lasak dan sukar tetapi sebenarnya hobi mendaki bukit atau gunung memberi banyak kepuasan kepada pendaki selain dapat meningkatkan kesihatan diri. Tetapi pastikan anda mempunyai stamina yang cukup dengan melakukan senaman sebelum mendaki.
Memakai pakaian yang sesuai juga penting bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semasa mendaki.

5. Sky diving
Kedengaran sedikit ekstrem tetapi jika dilakukan dengan betul ia sangat menyeronokkan.
Bukan sesuatu yang pelik kerana pada tahun 2019, seorang nenek berusia 102 tahun iaitu Irene O’Shea telah melakukan aktiviti ini dan terus melakukan beberapa lagi terjunan selepas itu.
Melakukan hobi sky diving seolah-olah menikmati pengembaraan di awangan. Aktiviti terjun bebas di udara ini dilakukan dengan pesawat mengikut sesuatu tahap ketinggian.
Namun, perlu diingat, sebelum melakukan aktiviti ini, pastikan badan anda benar-benar sihat dan ‘fit’ untuk membuat terjunan. Lakukan bersama beberapa rakan atau kumpulan untuk menyerlahkan lagi keseronokannya.

6. Memandu kereta lumba
Hobi ini semakin menjadi perhatian dan kelihatan ramai wanita yang sudah menjinakkan diri dengan bermain kereta lumba sekali gus menjadikan ia sebagai hobi di litar lumba.
Memandu kereta lumba kedengaran agak merbahaya tetapi jika tahu teknik memandu dan cara kawalan kereta yang betul, ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokan.
Selain kemahiran mengawal stereng, tumpuan yang penuh harus diberikan semasa memandu. Kereta juga perlu berada dalam keadaan baik terutama di bahagian enjin.
Pakaian yang sesuai seperti sut memandu, topi keledar, sarung tangan dan kasut juga penting dalam memastikan keselamatan semasa memandu.
Apa juga aktiviti hobi yang anda pilih, pastikan keselamatan diri diutamakan. Dapatkan nasihat doktor jika anda menghidap sebarang penyakit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]