Menara Eiffel dikosongkan 2 jam akibat ancaman bom

Menara Eiffel dikosongkan 2 jam akibat ancaman bom

Polis berkata, seorang lelaki menelefon dan melaungkan 'Allahu Akbar' serta mengugut akan meletupkan mercu tanda di Paris itu.

Anggota polis mengawal jambatan menuju ke Menara Eiffel di Paris pada Rabu. (Gambar AP)
PARIS:
Menara Eiffel dikosongkan selama 2 jam pada Rabu, selepas seorang pemanggil tidak dikenali mengugut akan meletupkan mercu tanda di ibu negara Perancis itu, kata polis.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan mencurigakan ditemui dan ia dibuka semula kepada pengunjung.

“Seorang lelaki menelefon, melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan berkata dia akan ‘meletupkan segalanya’ di Menara Eiffel, kata sumber polis yang enggan dinamakan.

Pihak berkuasa bertindak mengepung kawasan di sekitar menara itu, lalu lintas dilencongkan dan Menara Eiffel dikosongkan pada 12.15 tengah hari.

Pengendali menara itu, SETE dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan menyeluruh tidak menjumpai apa-apa dan menara itu dibuka semula pada 2.15 petang.

Menara itu dibuka semula pada 26 Jun lalu, selepas penutupan paling lama sejak Perang Dunia II akibat penularan Covid-19.

Menara Eiffel biasanya menerima kira-kira 7 juta pengunjung setahun, dengan 3/4 ialah pelancong asing, tetapi selepas pembukaan semula Jun lalu, jumlah pengunjung jatuh mendadak akibat sekatan perjalanan kerana penularan pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.