Lanjutan subsidi upah akan kurangkan pembuangan pekerja, kata persekutuan majikan

Lanjutan subsidi upah akan kurangkan pembuangan pekerja, kata persekutuan majikan

Semalam perdana menteri mendedahkan pelbagai inisiatif di bawah pakej rangsangan Kita Prihatin bernilai RM10 bilion, termasuk Program Subsidi Upah 2.0.

Syarikat perlu mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya sehingga Mac tahun depan di bawah Program Subsidi Upah 2.0, kata persekutuan majikan.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengalu-alukan lanjutan program subsidi upah sebagai langkah yang boleh mengurangkan insiden pembuangan pekerja.

Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu melupuskan kebimbangkan berhubung kemungkinan berlakunya pembuangan pekerja besar-besaran selepas 30 September apabila program itu, yang mula berkuat kuasa pada April, dijadualkan tamat pada asalnya.

“Walaupun jumlahnya kekal sebanyak RM600 bagi setiap pekerja, ia akan membantu menstabilkan pasaran kerja,” katanya kepada FMT.

Semalam Muhyiddin mendedahkan pelbagai inisiatif di bawah pakej rangsangan Kita Prihatin bernilai RM10 bilion bagi membantu negara berdepan kesan wabak Covid-19, termasuk Program Subsidi Upah 2.0.

Perdana menteri berkata, program itu bertujuan membantu syarikat yang masih terkesan dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), terutama yang berdepan pengurangan hasil sehingga 30% sejak tahun lepas.

Shamsuddin Bardan.

Shamsuddin berkata, di bawah program subsidi upah pertama, syarikat yang layak perlu mengekalkan pekerja mereka sehingga akhir tahun ini.

“Di bawah program subsidi upah ke-2 ini, syarikat perlu mengekalkan pekerja mereka sehingga akhir Mac tahun depan,” katanya dengan menambah bahawa ia akan membantu memperlahankan pengurangan pekerjaan.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% pada Mei berikutan penguatkuasaan PKP. Pada Julai, ia menurun kepada 4.9% selepas perniagaan dibenar beroperasi semula.

Presiden Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Halim Husin berkata, pakej rangsangan baru itu akan membantu sehingga 200,000 perniagaan mikro.

Beliau berkata, kebanyakan syarikat sedang memulakan semula perniagaan dan memerlukan dana untuk operasi mereka.

Katanya, pakej itu akan membolehkan mereka berdepan dengan masalah kelembapan ekonomi.

Halim Husin.

Beliau juga menggesa supaya dana terbabit diagihkan segera, susulan aduan tentang kelewatan yang berlaku di bawah pakej rangsangan yang diumumkan pada Mac lepas.

Halim berkata, sektor pelancongan yang paling teruk terkesan oleh wabak tersebut, mendapat manfaat daripada beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk program subsidi upah.

“Dengan ekonomi negara mula pulih secara beransur-ansur, rakyat Malaysia mula melancong semula di dalam negara. Ia petanda yang baik,” katanya.

Mengikut laporan, hotel di Langkawi dan Melaka menyaksikan peningkatan tempahan sejak kebelakangan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.