
Pengarah perubatannya, Dr Kamaruzzaman Ali berkata, semua perkhidmatan, termasuk unit kemalangan dan kecemasan, klinik pesakit luar, bilik pembedahan dan kemasukan pesakit ke wad kini beroperasi seperti biasa.
Beliau berkata, semua operasi dibuka semula selepas pusat perubatan itu melaksanakan proses pembersihan dan sanitasi secara menyeluruh.
“Pembukaan semula hospital ini mendapat kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah berdasarkan proses pembersihan diselesaikan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, 636 petugas, perunding perubatan dan pekerja khidmat luaran disaring dan disahkan bebas daripada jangkitan dan kini kembali bertugas.
Kamaruzzaman berkata, ujian sampel persekitaran diambil dari 50 kawasan hospital menunjukkan hasil negatif dan tidak ada kesan jangkitan.
“Pengesanan awal kes Covid-19 hanya melibatkan bilik pembedahan dan tidak ada penularan jangkitan ke bahagian lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pesakit supaya membuat janji temu untuk rawatan atau rundingan dengan klinik pakar di hospital berkenaan.
Selain itu, katanya, pesakit juga boleh mendapatkan bekalan ubat melalui perkhidmatan penghantaran ke rumah dengan menghubungi talian 011-13348280 dari jam 9 pagi hingga 5 petang.