Industri binaan rugi RM11.6 bilion setiap bulan ketika PKP, kata persatuan kontraktor

Industri binaan rugi RM11.6 bilion setiap bulan ketika PKP, kata persatuan kontraktor

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia berharap moratorium pembayaran pinjaman untuk syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama 6 bulan lagi sehingga Mac 2021.

Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia berkata, 29% kerugian yang direkodkan ketika PKP disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.
BUTTERWORTH:
Industri pembinaan di Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM11.6 bilion setiap bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuat kuasa di seluruh negara pada 18 Mac lalu.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee berkata, 29% kerugian yang direkodkan itu disebabkan pengangguran dalam kalangan pekerja industri kerana projek pembinaan terpaksa dihentikan.

“Apabila projek pembinaan dihentikan seketika, pembekal mesin tidak dapat menyewa atau menjual mesin mereka, kilang tidak dapat membuat bahan binaan dan tiada kemasukan bahan import. Akibatnya, industri pembinaan mengalami kerugian sehingga RM11.6 bilion sebulan,” katanya pada sidang media semalam.

Kebanyakan pekerja pembinaan kembali bekerja ketika tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), bagaimanapun pihak industri hanya boleh beroperasi pada kapasiti 80%.

Foo berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas insentif dan pakej yang diperkenalkan untuk membantu pemulihan industri, serta berharap moratorium pembayaran pinjaman untuk syarikat berkaitan pembinaan dapat dilanjutkan selama 6 bulan lagi sehingga Mac 2021.

“Moratorium akan tamat tidak lama lagi…pada 30 Sept ini, kebanyakan syarikat berpendapat mereka tidak mampu membayar balik. Sebanyak 30% syarikat pembinaan di Malaysia masih menghadapi masalah kewangan.”

Beliau berkata, melanjutkan moratorium untuk 6 bulan lagi dapat membantu memberi perlindungan kepada industri pembinaan, antara sektor ekonomi penting negara.

Ditubuhkan pada 1954 dan mempunyai 17,000 ahli secara langsung dan tidak langsung, MBAM menyasarkan untuk menjadi penggerak utama dan pembela industri pembinaan di Malaysia.

Terdahulu, Foo menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Seminar MBAM mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan edisi ke-7 dan Bengkel Permit Bekerja untuk Industri Pembinaan dekat sini, semalam.

Acara itu dirasmikan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hassan Alias.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.