Tiada maklumat baru kes prebet jatuh dari tingkat 3 kem, kata polis

Tiada maklumat baru kes prebet jatuh dari tingkat 3 kem, kata polis

Jumlah saksi yang dipanggil membantu siasatan kes itu kekal 10 orang setakat ini.

Ayob Khan Mydin Pitchay (kiri) memeriksa sebuah lori membawa muatan batu dalam operasi kenderaan perdagangan di Plaza Tol Skudai arah selatan di Johor Bahru hari ini.
JOHOR BAHRU:
Polis tidak mempunyai maklumat terbaru berkaitan kes kematian Prebet Abdul Aziz Aznam yang jatuh dari tingkat 3 bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat hujung bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan kes itu kekal 10 orang.

“Semua kita sudah ambil keterangan dan setakat ini belum ada perkembangan terbaru,” katanya selepas meninjau operasi kenderaan perdagangan di Plaza Tol Skudai di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata, polis sudah mengambil keterangan 2 pegawai dan 7 anggota tentera pangkat rendah serta seorang orang awam.

Katanya, laporan awal bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal, penderaan atau unsur jenayah yang dikesan menjadi punca kematian prebet itu.

Aziz yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, selepas terjun dari tingkat 3 bangunan kediaman di Kem Majidee, dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nora Ismail sebelum meninggal dunia pada 6 Sept lalu.

Ahli keluarganya mendakwa Aziz bertindak demikian kerana tidak tahan dibuli ketika menjalani latihan di kem tentera terbabit.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, pihaknya mengeluarkan waran tangkap terhadap 2 anggota polis yang gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi bulan lalu untuk pendakwaan bersama 6 penguat kuasa lain atas pertuduhan membantu ahli kumpulan jenayah terancang 3 tahun lalu.

“Kita sudah hebahkan kepada masyarakat untuk bersama bantu kesan, mereka tidak boleh lari ke mana.”

Kedua-duanya antara 19 anggota polis dan tentera yang ditahan dalam Op Pintas Selatan serta Op Benteng pada 12 hingga 19 Jun lalu dalam siasatan ke atas kumpulan jenayah terancang.

Mengenai operasi kenderaan perdagangan, Ayob Khan berkata, pihaknya mengesan banyak kesalahan serius dilakukan pemandu, termasuk menggunakan lesen palsu.

“Sejak 9 pagi hingga 10.40 tadi, sebanyak 70 lori dan 10 bas sudah kita tahan dan kita kesan warga asing memandu lori menggunakan lesen palsu.

“Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket dan siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.