Purata gaji, upah meningkat 4.4% pada 2019

Purata gaji, upah meningkat 4.4% pada 2019

Peningkatan gaji dan upah adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4% pada harga semasa 2019.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi tahun ini, dijangkakan penularan wabak Covid-19 bakal memberi kesan kepada gaji dan upah yang diterima pekerja.
PUTRAJAYA:
Purata gaji dan upah bulanan diterima pekerja di negara ini meningkat daripada RM3,087 pada 2018 kepada RM3,224 atau 4.4% pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, data itu diperoleh melalui Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2019 yang diterbitkan hari ini.

“Peningkatan gaji dan upah pada 2019 adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4% pada harga semasa pada 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Laporan itu membekalkan statistik utama gaji dan upah, iaitu penengah dan purata gaji dan upah bulanan mengikut ciri-ciri demografi juga sosioekonomi.

Mohd Uzir berkata, bilangan penerima gaji dan upah di Malaysia adalah seramai 9.2 juta orang pada 2019, meningkat 5.0% daripada 8.8 juta orang pada 2018.

Nilai penengah gaji dan upah bulanan juga mencatatkan peningkatan daripada RM2,308 pada 2018 kepada RM2,442 (peningkatan 5.8%) pada 2019.

“Pada 2019 didapati penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki adalah RM2,477 dan pekerja perempuan RM2,370, iaitu masing-masing meningkat 5.8% dan 6.4% berbanding 2018.

“Purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat 4.1% kepada RM3,304 dan pekerja perempuan meningkat 5.0% kepada RM3,108 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata, nilai penengah dan purata gaji juga upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tinggi kekal tinggi, iaitu masing-masing bertumbuh pada kadar 6.9% dan 2.0%.

Laporan itu turut menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat kepada RM2,565, iaitu pada kadar 6.2% berbanding pekerja di luar bandar meningkat kepada RM1,560 iaitu pada kadar 5.3%.

“Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan pula menunjukkan trend sebaliknya, iaitu kadar perubahan peratus gaji dan upah di luar bandar lebih tinggi (6.0%) berbanding pekerja di kawasan bandar (4.0%) bagi tahun 2019,” katanya.

Mohd Uzir berkata, bagi tahun ini, dijangkakan penularan wabak Covid-19 bakal memberi kesan kepada gaji dan upah yang diterima pekerja, terutamanya dalam industri perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal serta industri pengangkutan dan penyimpanan.

Selain itu, industri penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman dan aktiviti kesenian, hiburan dan rekreasi juga bakal terkesan berikutan arahan perintah kawalan pergerakan (PKP), tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.