
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata, pendekatan siasatan dalaman yang dibuat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor berbeza dengan polis.
Katanya, bagaimanapun pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama dan siasatan dilakukan polis dalam usaha bersama mengekang masalah penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar di Johor.
“Siasatan ini kita buat secara dalaman, kita pun akan rahsiakan sekolah terlibat dan tidak diwar-warkan kepada umum. Apa yang penting penyelesaian terhadap masalah ini dan pendekatan diguna lebih kepada mendidik, bukan menghukum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri pertandingan blok tercantik sempena kempen Bulan Kemerdekaan ke-63 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara hari ini.
Sebelum ini, Mazlan mendedahkan seramai 177 pelajar sekolah tingkatan 4 dan 5 dikesan terlibat penagihan dadah di negeri ini menerusi ujian saringan air kencing dijalankan terhadap 10,132 pelajar di 280 sekolah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Mazlan berkata, pihaknya berharap gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar dapat dibanteras sepenuhnya bawah pimpinan Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.
“Kita alu-alukan siasatan polis dalam kes ini, tiada masalah. Tetapi pendekatan kita (JPN Johor) berbeza dengan polis.
“Kita lebih kepada usaha mendidik, maknanya bila terlibat bukan kita hukum tetapi halang daripada bertambah teruk. Perspektif polis berbeza, mereka nak banteras dari mana pembekalan dadah, itu bidang kuasa mereka dan kita tidak halang,” katanya.