
Calon DUN Kiulu itu berkata, Upko membuat keputusan itu kerana keputusan PRU14 jelas menunjukkan rakyat mahukan perubahan.
“Macam mana saya boleh jadi katak? Tiada apa yang boleh saya lompat, tidak ada kerajaan. Apa yang kita (Upko) buat ialah lihat pada rakyat dan semua parti yang berkempen pada masa itu untuk kalahkan BN, mereka semua buat dengan bagus sekali.
“Jadi, apa kata kita ikutkan kemahuan rakyat? Saya bukan pengkhianat kepada sesiapa. Kalau anda kata saya khianati rakyat, saya sebenarnya ikut kemahuan rakyat,” katanya semasa kempen Warisan Plus di sini, malam tadi.
Pada 10 Mei 2018, sehari selepas PRU14, Tangau mengetuai sekumpulan pemimpin Upko menemui Shafie Apdal untuk memberi sokongan kepada Warisan, beberapa jam sebelum beliau mengumumkan Upko keluar BN.
Langkah itu mengundang kritikan orang ramai yang melabelkan Upko “katak”.
Tangau berkata, Upko memutuskan keluar BN ketika itu bagi memastikan perjuangan parti untuk masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) akan berterusan.
Katanya, BN tumbang di peringkat kebangsaan dan secara teknikal, ia juga kalah kepada pembangkang di peringkat negeri kerana mereka hanya mempunyai 29 daripada 60 kerusi DUN ketika itu.
“STAR mempunyai 2 kerusi, Warisan (21), DAP (6) dan PKR (2), yang menjadikan semuanya 31 kerusi. Mereka juga mendapat 60% undi popular.
“Itu bermaksud rakyat mahukan perubahan. Mereka mahu kerajaan baru dan ketua menteri baru.
“Jadi, BN kalah dalam pilihan raya bukan kerana Madius Tangau. Saya bekerja keras dan saya menang. Kami (Upko) bertanding 6 kerusi dan menang 5 kerusi.”
Katanya, walaupun Upko beralih kepada gabungan politik lain, beliau tidak pernah melompat ke parti lain.
“Saya masih ahli dan presiden Upko. Jadi, saya di sini dan saya mahu katakan Tangau bukan katak.”
Pada 9 Mei 2018, Warisan-DAP-PKR terikat 29 kerusi dengan BN. Ia menjadikan STAR, yang dipimpin Presidennya, Jeffrey Kitingan, ‘kingmaker’ kerana memegang baki 2 kerusi.
Keesokannya, Kitingan, yang memenangi kerusi Tambunan dan Robert Tawik yang memenangi kerusi Bingkor, memberikan sokongan kepada BN yang ketika itu diketuai bekas ketua menteri, Musa Aman.
Pada hari sama, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, tetapi berlaku pembelotan membabitkan Adun BN dari Umno dan Upko yang menyebabkan sokongan majoriti beralih kepada Shafie.
Pada 12 Mei, Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin menyaksikan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, menyebabkan krisis perlembagaan tercetus. Kes membabitkan Musa yang mendakwa beliau ialah “ketua menteri sah” selepas PRU14 didengar di Mahkamah Persekutuan.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah