Pertimbangan politik bukan merit dorong pelantikan Kabinet, kata penganalisis

Pertimbangan politik bukan merit dorong pelantikan Kabinet, kata penganalisis

Lau Zhe Wei dari UIAM berkata tiada perdana menteri memilih menteri hanya berdasarkan merit semata-mata.

anwar ibrahim cabinet meeting
Ketika ini, empat jawatan Jemaah Menteri kosong iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi, serta pelaburan, perdagangan dan industri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Merit tidak pernah menjadi pertimbangan utama dalam pelantikan Jemaah Menteri, yang lebih didorong oleh pertimbangan politik, kata seorang penganalisis politik selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim digesa mengetepikan kuota parti ketika membuat rombakan Kabinet.
Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata walaupun mudah untuk meminta seorang perdana menteri membuat pemilihan berdasarkan merit, hakikatnya tiada perdana menteri yang benar-benar berbuat demikian.

“Pada akhirnya, ia dibuat berdasarkan pertimbangan politik. Kuota parti tetap perlu diambil kira,” katanya kepada FMT.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia turut berpendapat sukar untuk Anwar mengimbangi kepentingan parti-parti komponen kerajaan perpaduan dengan keperluan memilih individu terbaik untuk jawatan menteri.

“Kedua-dua matlamat ini tidak semestinya seiring,” katanya kepada FMT.

Azmil Tayeb
Azmil Tayeb.

Kedua-dua penganalisis itu mengulas gesaan ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, pada 12 Disember yang menggesa Anwar melihat melangkaui kuota parti dan menggunakan keputusan PRN Sabah baru-baru ini sebagai kayu pengukur dalam pelantikan Jemaah Menteri.

Puad berkata rombakan Jemaah Menteri yang bakal dilakukan mesti menjadi satu ‘game changer’ bagi memastikan hanya menteri berprestasi tinggi dikekalkan untuk baki tempoh penggal kerajaan.

Ketika ini, empat jawatan Jemaah Menteri kosong iaitu ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi, serta pelaburan, perdagangan dan industri.

mazlan ali
Mazlan Ali.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat prestasi parti kerajaan pada PRN Sabah 29 Nov lalu tidak relevan untuk pelantikan menteri, kerana sentimen tempatan merupakan faktor utama yang mendorong prestasi lemah parti-parti dari Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya, prestasi parti masih boleh digunakan sebagai penanda aras bagi menentukan agihan jawatan menteri sekiranya Anwar kekal sebagai perdana menteri selepas PRU akan datang.

Mazlan dan Lau juga berpendapat Anwar berkemungkinan melantik wakil Umno sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri, manakala tiga jawatan selebihnya akan diisi oleh Ahli Parlimen PH.

Namun, Lau mencadangkan supaya Anwar mempertimbangkan pelantikan seorang Ahli Parlimen daripada parti Sabah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Presiden Upko, Ewon Benedick, di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Mazlan pula mencadangkan Anwar berbincang dengan parti komponen kerajaan sekiranya berhasrat melantik seorang teknokrat, dan bukannya Ahli Parlimen, bagi memegang salah satu portfolio yang masih kosong.

“Jika (pelantikan) tidak dibincangkan, ia akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.