
Katanya, keputusan itu dibuat susulan aduan peniaga yang disampaikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Hisham Ahmad Dahlan.
“Setelah bincang dengan datuk bandar tadi di dalam kereta, saya benarkan buka sehingga 2 pagi.
“Ini kerana peniaga rugi banyak dan elok beri peluang mereka tambah pendapatan selari dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara,” katanya selepas menghadiri Program Pengindahan di Taman Awam Bukit Kiara hari ini.
Beliau berkata, SOP untuk kedai makan dan serbaneka beroperasi sehingga 2 pagi akan diumumkan Hisham esok.
Semalam, DBKL mengumumkan waktu operasi premis perniagaan di ibu kota dikekalkan sehingga 12 tengah malam sepanjang tempoh PKPP, walaupun MKN membenarkan perniagaan kedai makan dan serbaneka dibuka sehingga 2 pagi.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, beliau sudah meminta laporan siasatan punca banjir kilat di Kuala Lumpur Khamis lalu daripada semua pihak berkaitan.
“Ada yang kata punca banjir ada kaitan dengan ‘run off water’ yang cepat. Saya nak dapatkan satu penjelasan lebih lanjut.”
Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang di Kampung Baru, Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5, Taman Ayer Panas dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak dilanda banjir kilat akibat hujan lebat pada Khamis lalu.
Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dilaporkan berkata, air naik setinggi 3m dari paras jalan raya.