Miliki video IS: Pemandu e-hailing dipenjara 3 tahun

Miliki video IS: Pemandu e-hailing dipenjara 3 tahun

Tertuduh mengaku bersalah memiliki 17 video berkaitan kumpulan militan IS di dalam telefon bimbitnya awal tahun ini.

Mohamad Ayub Musa didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item dimiliki, jika sabit kesalahan. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
“Saya sayangkan Malaysia, saya tidak mahu Malaysia terlibat dengan perang,” kata seorang pemandu e-panggilan dalam rayuannya sebelum dijatuhi hukuman penjara 3 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan memiliki 17 video berkaitan kumpulan militan IS, awal tahun ini.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Ayub Musa, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya pada sebutan kali pertama kes selepas dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkapnya pada 6 Januari lepas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan militan tersebut di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah rumah di Persiaran Taman Meru 14, Taman Meru 2C, Jelapang, Kinta, Perak, pada 7.20 pagi, 6 Januari lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohd Firdaus Abu Hanipah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pencegahan dengan mengambil kira perbuatan jenayah yang dilakukan tertuduh boleh menggugat keamanan negara.

“Antara kandungan 17 video tersebut adalah paparan suasana militan IS semasa peperangan yang turut mengajak umat Islam menyertai aktiviti itu.

“Selain itu, ada antara video tersebut yang mengajak rakyat Malaysia untuk memerangi pasukan polis dan kerajaan. Justeru, saya memohon hukuman berat dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menyesal dan insaf atas perbuatannya.

“Saya sudah kehilangan segalanya, saya benar-benar menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak. Saya hanya ingin fokus menjaga kedua ibu bapa saya yang sudah tua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.