Loji rawatan air masih tercemar, kata Air Selangor.

Loji rawatan air masih tercemar, kata Air Selangor.

LRA hanya boleh beroperasi apabila pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Air Selangor mengesahkan kilang di Sungai Gong merupakan punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang sejak semalam susulan penutupan 4 LRA di Sungai Selangor akibat pencemaran. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum boleh beroperasi semula, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Dalam kenyataan terbaru, Air Selangor memaklumkan berdasarkan ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk sehingga jam 8:30 malam ini masih mengesan pencemaran pada paras 1 TON.

“LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada paras 0 TON.

“Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini,” katanya.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi, termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Petang tadi, Air Selangor berkata, pengguna akan mula menerima bekalan air bersih sekurang-kurangnya dalam tempoh 4 hari berikutan kerja-kerja pemulihan roji rawatan air (LRA) melebihi tempoh 24 jam.

Semalam Air Selangor mengesahkan bahawa kilang di Sungai Gong dipercayai punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang sejak pagi semalam susulan penutupan 4 LRA di Sungai Selangor akibat pencemaran.

Siasatan awal mendapati punca pencemaran disebabkan kilang menyelenggara mesin dan jentera itu gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.