KKM kesan kluster baru Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih

KKM kesan kluster baru Covid-19 di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih

Kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kuster baru Covid-19 di Depoh Tahahan Imigresen Semenyih membabitkan seorang warga asing dan pegawai imigresen yang mengiringi beliau ke Klinik Kesihatan untuk saringan virus tersebut.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata 1 kluster baru Covid-19 dikenal pasti di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal.

“Justeru, beliau disaring untuk Covid-19 di Klinik Kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos lalu (iaitu kes ke-9302).

“Kes kedua dan ketiga kluster (iaitu kes ke-9382 dan kes ke-9384) merupakan pegawai imigresen di DTI tersebut yang mengiringi kes indeks ke Klinik Kesihatan bagi saringan Covid-19.

“Mereka adalah 2 daripada 4 orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, susulan itu pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.

Katanya, sehingga hari ini 269 orang telah disaring.

“Daripada jumlah ini, di Selangor sebanyak 265 disaring dan 2 kes dikesan positif Covid-19, 123 individu negatif dan 140 individu masih menunggu keputusan.

“Di Negeri Sembilan 4 disaring individu dengan 1 kes dikesan positif Covid-19 dan 3 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah saringan yang dilaksanakan bagi kluster ini melibatkan 134 tahanan, 129 orang kakitangan DTI dan 6 orang ahli keluarga kakitangan.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di DTI Semenyih,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM menyeru anggota barisan hadapan dari pelbagai agensi yang menguruskan kes positif Covid-19, kes yang disyaki positif Covid-19 serta kes masih dalam siasatan, termasuk pesakit dalam pemerhatian(PUI) supaya mengambil langkah pencegahan pada setiap masa sepanjang pengurusan kes.

“Ini termasuk pemakaian ‘Personal Protective Equipment’ (PPE) dengan betul serta bersesuaian, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter dan amalan kebersihan tangan yang optimum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.