
Esok, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim akan memutuskan permohonan Musa dan 32 Adun mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Juhar Mahiruddin membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.
Isnin lalu, peguam yang mewakili Musa dan 32 Adun itu, Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, Leonard membayangkan semakan kehakiman akan segera didengar, jika kebenaran diberikan.
Katanya, semakan kehakiman akan didengar jika kebenaran diberikan, sama ada permohonan untuk menangguhkan perisytiharan pembubaran DUN dibuat atau sebaliknya.
Tengku Farid membayangkan pihaknya akan segera memohon penangguhan perisytiharan pembubaran DUN itu, jika kebenaran diberikan.
Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri, Shafie Apdal sebagai responden ke-2, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ke-3 dan kerajaan Sabah selaku responden ke-4.
Namun, apa akan berlaku jika mahkamah menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu.
Dalam senario ini, Presiden Persatuan Undang-undang Sabah, Roger Chin berkata, pemohon masih boleh membuat rayuan.
“Lebih-lebih lagi, pemohon boleh mengemukakan sijil perakuan segera apabila memfailkan rayuan.
“Sijil perakuan segera membolehkan rayuan mereka didengar secepat mungkin…mungkin dalam seminggu,” katanya kepada Bernama.
Isnin lalu, SPR menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sept ini dengan hari penamaan calon pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept.