
Hari penamaan ditetapkan pada 12 Sept, kata Timbalan Pengerusi Azmi Sharom hari ini.
Perkembagan ini menyusuli pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 30 Julai.

“SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai berhubung pembubaran DUN Sabah penggal yang ke-15.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan menetapkan pilihan raya umum DUN Sabah ke-16 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran pada 31 Julai bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN,” katanya.
Azmi berkata, sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi akan digunakan pada PRN nanti.
Beliau juga menyeru bakal calon yang akan bertanding supaya mengisi dan membuat semakan awal untuk pengisian borang dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat PRN Sabah sebelum hari penamaan calon.
“Bakal calon juga dicadang membuat pembayaran deposit lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal serta berjalan lancar.
“Bagaimanapun adalah diingatkan bahawa kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong serta pencadangnya pada hari penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata, seramai kira-kira 1.124 juta pengundi layak mengundi pada PRN akan datang dengan 1.103 juta adalah pengundi biasa, 9,448 anggota tentera dan pasangan, 11,423 anggota polis dan pasangan serta 81 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“SPR mensasarkan 70% pengundi akan keluar dan kami juga meminta kerjasama semua pihak, termasuk media dan parti politik supaya turut mengambil langkah untuk menyeru serta menggalakkan pengundi keluar mengundi.
“Saya juga yakin peratusan pengundi nanti mencapai sasaran berdasarkan pengalaman kami pada PRK di Chini kerana walaupun beberapa SOP ditetapkan, namun peratus keluar mengundi lebih ramai berbanding PRU lalu.
“Bagaimanapun, kita akan menambah baik SOP yang dilaksanakan ketika di Chini dulu, termasuklah mempercepatkan beberapa proses seperti pemakaian sarung tangan serta penggunaan berus yang kita akan ganti dengan pengggunaan sanitasi tangan,” katanya lagi.