
Timbalan menterinya Ahmad Masrizal Muhammad berkata, ia antara langkah akan diambil kementerian jika berlaku kemarau yang kritikal.
“Langkah lain yang akan diambil Kasa ialah memantau paras semua sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah kepada loji rawatan air di setiap negeri.
“Selain itu, Kasa juga akan mengaktifkan segera Pelan Kontigensi Bekalan Air jika keadaan paras sungai dan empangan menyusut kepada paras kritikal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai kesiapsiagaan negara bagi menghadapi musim panas dan kemarau berpanjangan khususnya kesan kepada kawasan tadahan air dan empangan seluruh negara termasuk di daerah Sik iaitu Empangan Ulu Muda dan Empangan Beris.
Mengulas lanjut, Masrizal berkata, jika musim panas dan kemarau bertambah buruk sehingga menjejaskan sumber air dan empangan kepada paras bahaya, beberapa langkah drastik akan diambil.
Katanya, antaranya termasuklah melaksanakan catuan bekalan air kepada pengguna, menyediakan keperluan logistik bagi penghantaran bekalan air dan melaksanakan pembenihan awan di kawasan empangan dan tadahan air.
“Kasa sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi fenomena musim panas dan kemarau yang melanda negara saban tahun.
“Bagaimanapun, saya menyeru rakyat negara ini lebih berhemah dalam penggunaan air dan tidak melakukan pembaziran ketika negara berdepan cuaca panas dan kemarau,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata buat masa ini bekalan di empangan Ulu Muda, Beris dan Pedu menyalurkan air ke Sungai Muda yang membekalkannya kepada Kedah dan Pulau Pinang masih mencukupi.