
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata, biarpun negara sedang mengalami situasi panas dan kering susulan Monsun Barat Daya ketika ini, beliau menjelaskan paras air empangan dijangka kekal stabil untuk beberapa bulan akan datang.
Mengenai Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei dan dijangka berlarutan sehingga September depan, Izham berkata, kelazimannya menyebabkan kadar kelembapan udara menjadi rendah menyebabkan kadar hujan berkurangan di kebanyakan tempat.
“Namun begitu, paras air empangan ini akan dapat ditingkatkan semasa monsun peralihan yang biasanya berlaku pada Oktober, dan Monsun Timur Laut pada November hingga Mac, dengan jumlah kadar taburan hujan yang tinggi dijangkakan akan diterima di kawasan tadahan,” katanya menerusi kenyataan.
Izham berkata, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah mengenal pasti kolam-kolam tambahan dan bekas lombong yang berada berhampiran dengan lokasi sungai utama serta sesuai dinaik taraf dengan prasarana bekalan air bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.
“Kolam-kolam ini dijenamakan sebagai ‘Selangor Off River Storage Scheme’ (SORSS) yang melibatkan lebih 100 buah kolam dan beberapa bekas lombong,” katanya.
Izham berkata, pembangunan SORSS itu akan dapat mengoptimumkan penggunaan sumber air alternatif dengan keupayaan bekalan semasanya adalah sehingga tiga bulan.
“Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri (melibatkan kapasiti empangan dan pembangunan SORSS) dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan, bagi menghadapi Monsun Barat Daya,” katanya.
Izham berkata, Luas turut mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif kepada air terawat, terutamanya bagi sektor industri melalui pelesenan dan caj abstraksi sumber air dengan tiga telaga air bumi dibina di Hulu Selangor untuk kegunaan khususnya semasa musim kering.
Dari aspek kualiti, katanya, inisiatif Zero Discharge Policy (ZDP) melalui Peraturan-peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, dan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Selangor) 2024 giat dilaksanakan, mampu meminimumkan beban pencemaran kepada sumber air.
“Sehingga kini, tiada sebarang insiden gangguan operasi loji rawatan air negeri akibat kesan pencemaran sumber air oleh aktiviti industri direkodkan,” katanya.