
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Abdul Halim Hamzah berkata berikutan itu, impak kemarau yang sering dikaitkan dengan MBD dijangka tidak teruk pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
“Walaupun MBD lazimnya membawa cuaca yang lebih kering ke Semenanjung, status neutral Enso bermakna impak kemarau teruk seperti yang sering dikaitkan dengan El Nino adalah kurang berkemungkinan.
“Secara ringkasnya, status neutral Enso ini bermakna kita boleh menjangkakan monsun yang lebih ‘biasa’ tanpa pengaruh ekstrem yang dibawa oleh El Nino atau La Nina, dengan jangkaan ini diramal berterusan hingga Oktober depan,” katanya pada libat urus persiapan kerajaan menghadapi MBD.
Enso ialah corak iklim di Lautan Pasifik yang berayun antara fasa lebih panas (El Nino), lebih sejuk (La Nina) dan neutral dengan keadaan itu memberikan impak ketara kepada cuaca global, termasuk musim monsun di Malaysia.
Halim berkata kesan cuaca panas itu bagaimanapun masih boleh menyebabkan punca risiko kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar serta jerebu yang jika berpanjangan boleh menjejaskan hasil pertanian.
Beliau berkata ciri utama MBD ialah taburan hujan yang rendah untuk Semenanjung dan Sarawak serta bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan di kebanyakan negeri.
Ciri lain termasuk pembentukan garis badai, iaitu fenomena kelompok awan ribut petir aktif yang membentuk barisan di laut dan bergerak ke daratan, pada waktu pagi di Barat Semenanjung dan Barat Sabah, serta kejadian jerebu tempatan dan rentas sempadan juga boleh berlaku jika kebakaran hutan tidak dikawal.
Halim berkata Nadma bersama agensi seperti bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan sumber manusia untuk digerakkan menghadapi impak MBD.
Dari aspek pengurusan sumber air dan kemarau hidrologi, beliau berkata ramalan kemarau melibatkan storan empangan dan kadar alir sungai menunjukkan majoriti empangan utama dan aras air sungai masih di tahap normal kecuali Empangan Malut di Kedah yang kini berada di tahap waspada kemarau hidrologi, dengan status simpanan 37.6% setakat 27 Mei lepas.
“Esok kita akan bermesyuarat penyelarasan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah untuk isu empangan Bukit Malut sebagai satu langkah proaktif dan tidak akan menunggu sehingga empangan kering untuk menjalankan OPA,” katanya.
Beliau berkata bomba dipilih untuk menjadi agensi penyelaras yang bertanggungjawab menguruskan penerimaan aduan berkaitan pembakaran terbuka bagi mengelakkan pertindihan tindakan serta memastikan maklum balas yang pantas dan tepat.
Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, bomba menangani 3,791 kes pembakaran terbuka dengan lima negeri mencatatkan statistik kes tertinggi iaitu Kedah (547), Johor (468), Terengganu (384), Selangor (368) dan Perak (357).
Halim berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 19 Mei lepas, JAS mengenal pasti sebanyak 125 titik panas di Malaysia serta menjalankan siasatan 2,391 kes pembakaran terbuka dengan 34 kompaun dikeluarkan, dan 16 kes dibawa ke mahkamah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi MET Malaysia, Ambun Dindang, berkata suhu 36 hingga 37 darjah Celsius dijangka berlaku pada Julai dan Ogos ini dengan kawasan utara Semenanjung dan pedalaman akan mengalami cuaca lebih panas berbanding di kebanyakan tempat.