
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata serbuan ke atas 3 premis itu dijalankan selepas pihak berkuasa mendapat waran geledah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Sepang.
Katanya, serbuan itu dilakukan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang turut menyiasat stesen penyiaran terbabit.
“Serbuan tersebut turut merampas komputer dan semua rampasan akan dihantar ke SKMM untuk analisa lanjut.
“Keterangan saksi lain turut diambil ketika serbuan dilaksanakan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini sambil menambah hasil siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Beliau menegaskan tindakan itu diambil berlandaskan undang-undang dan tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada tindakan jika melanggar undang-undang.
Terdahulu, Al Jazeera mengesahkan pejabatnya di Kuala Lumpur diserbu dan 2 komputer dirampas sebagai sebahagian siasatan ke atas dokumentari kontroversi bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan 3 Julai lalu.
Dokumentari selama 25 minit itu mengecam layanan buruk terhadap pendatang asing tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah membendung penularan Covid-19.
Susulan itu, polis menyiasat Al Jazeera di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.
Tujuh kakitangan Al Jazeera, termasuk 5 warga Australia dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat pada 10 Julai lalu, manakala lelaki Bangladesh yang ditemubual dalam program itu ditahan polis.