Kerajaan sasar kurang kadar penggunaan air individu kepada 180 liter sehari menjelang 2025, kata menteri

Kerajaan sasar kurang kadar penggunaan air individu kepada 180 liter sehari menjelang 2025, kata menteri

Kesedaran rakyat memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kadar penggunaan air semasa sebanyak 219 liter sehari setiap orang adalah tinggi berbanding kadar sepatutnya, iaitu 160 liter.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan penggunaan air bagi setiap rakyat Malaysia kepada 180 liter sehari menjelang 2025, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, ini kerana penggunaan air sebanyak 219 liter sehari bagi setiap orang pada masa kini adalah tinggi berbanding kadar yang sepatutnya, iaitu 160 liter sehari.

“Isu kesedaran rakyat memainkan peranan penting dalam mengurangkan penggunaan air kerana mereka (rakyat) ketika ini rasa mewah dengan sumber air yang banyak,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pencelahan Dr Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) yang mencadangkan kerajaan menyemak semula kadar tarif air kerana didakwa rendah ,Tuan Ibrahim berkata, kerajaan tidak bercadang melaksanakan perkara itu dengan mengambil kira bebanan rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat penularan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 Julai lalu memutuskan untuk membatalkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Jerebu Merentas Sempadan selepas mengambil kira pengalaman Singapura dan maklum balas pakar perundangan, termasuk Jabatan Peguam Negara.

“Undang-undang yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, tindakan hanya dapat diambil terhadap syarikat milik atau berkaitan Malaysia yang beroperasi di luar negara sekiranya bukti jelas daripada negara yang menjadi punca jerebu merentas sempadan diperoleh.

“Bukti seperti maklumat pemilik tanah, peta dan koordinat lokasi aktiviti pembakaran hutan atau tanah tidak akan dikongsikan oleh negara punca jerebu dengan negara lain memandangkan ia mempunyai implikasi kepada keselamatan dan kedaulatan negara terbabit,” katanya.

Malah katanya, kerajaan juga tidak mahu akta tersebut bersifat kosmetik tanpa upaya untuk menangani masalah jerebu, selain percaya jalan lebih baik adalah bekerjasama dengan semua negara anggota Asean untuk menangani masalah itu secara bersama.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.