
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hasan Bahrom (PH-Tampin), yang ingin tahu apakah kerajaan berhasrat membentangkan rang undang-undang pindaan Akta 355 atau RUU355 untuk kali kedua.
“Kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.
“Bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis semalam.
RUU berkenaan mahu menaikkan hukuman bagi pesalah syariah daripada maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 rotan kepada denda maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan.
Dibentangkan PAS pada Mei 2016, usul persendirian Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) itu bagaimanapun ditangguhkan dan dibentangkan buat kali ke-2 pada November tahun sama dan kali ke-3 pada April 2017.
Hadi dilapor berkata ia ditangguhkan kerana usul seperti itu perlu dicadangkan menteri.
Pada Mac, Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berkata parti Islam itu belum menimbulkan cadangan pindaan Akta 355 kepada pimpinan Perikatan Nasional kerana masih awal untuk berbuat demikian.
Ketika itu, Khairuddin, kini menteri perusahaan perladangan dan komoditi, berkata PN sedang membincangkan isu penting lain seperti pembentukan Kabinet dan hala tuju kerajaan baru.
PAS, komponen penting dalam PN, sebelum ini mengumumkan ia akan menyokong kerajaan jika RUU355 dibentangkan di Dewan Rakyat.