Wakil rakyat PN cadang kempen anti-LGBT di media, silibus sekolah

Wakil rakyat PN cadang kempen anti-LGBT di media, silibus sekolah

Ahmad Marzuk Shaary berkata langkah itu bagi tingkat kesedaran masyarakat terhadap perlakuan tidak bermoral dan bercanggah hukum agama.

Ahmad Marzuk Shaary
Ahmad Marzuk Shaary gesa kerajaan tunjuk kesungguhan tangani isu LGBT. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan melaksanakan kempen anti-lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi media serta silibus pendidikan sekolah.

Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) berkata langkah itu penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa LGBT perlakuan tidak bermoral dan bercanggah dengan hukum agama.

“Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan untuk menangani isu LGBT.

“Kerajaan juga boleh mewujudkan kerjasama rentas kementerian bagi melaksanakan kempen anti-LGBT di media serta membangkitkan kesedaran melalui silibus pendidikan di sekolah-sekolah,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.

Pada Jun 2021, mesyuarat Khas Task Force bagi menangani isu LGBT di kalangan umat Islam negara ini bersetuju untuk segera melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu bagi menangani promosi gaya hidup terbabit khususnya media sosial.

Awal tahun ini, wujud usaha menganjurkan program untuk LGBT iaitu ‘Glamping with Pride’ di Hulu Langat yang menerima kecaman meluas selepas poster acara itu tular di media sosial.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang berkaitan LGBT di negeri itu.

Program itu dibatalkan penganjur atas faktor keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.