Lebih 1,800 rakyat Malaysia pulang dari luar negara tidak jalani saringan kedua Covid-19

Lebih 1,800 rakyat Malaysia pulang dari luar negara tidak jalani saringan kedua Covid-19

Setakat ini bilangan yang pulang dari luar negara dan dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah adalah 31,674 orang.

Kira-kira 10% daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak menjalani ujian ke-2 Covid-19 pada hari ke-13 dalam tempoh kuarantin seperti ditetapkan.
PUTRAJAYA:
Lebih 1,800 atau 10% daripada 18,416 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara tidak menjalani saringan Covid-19 pada hari ke-13 dalam tempoh kuarantin 14 hari yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini bilangan mereka yang pulang dari luar negara, iaitu Individu Dalam Pemerhatian (Person Under Surveillance) yang dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) adalah seramai 31,674 orang.

“Daripada jumlah itu, 18,416 telah menyempurnakan tempoh kuarantin 14 hari itu.

“Bagaimanapun 10% daripada jumlah itu tidak menjalani ujian ke-2 Covid-19 pada hari ke-13 seperti ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Polis akan siasat dan juga mengesan mereka. Jadi, tindakan telah dimaklumkan dan kita harap dapat kesan semua 10% tersebut,” katanya.

Pada 1 Julai, polis berkata, ia kini mengesan 1,400 rakyat Malaysia yang pulang ke negara ini dan telah menjalani tempoh kuarantin, tetapi tidak menjalani saringan ke-2.

Noor Hisham berkata, analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera dari 7 Julai hingga 20 Julai menunjukkan 24.8% daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah HSO tidak menggunakan alat penilaian kendiri (Home Assessment Tool).

“Fungsi alat penilaian kendiri ini merupakan ciri yang perlu dilakukan oleh individu yang menjalani penilaian kendiri setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah, iaitu selama 14 hari,” katanya.

Noor Hisham berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan juga semakin menurun berikutan lebih ramai anggota masyarakat makan di restoran, membeli belah di pasar raya dan kembali bekerja di pejabat.

Katanya, analisis data melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan jumlah pengguna yang berdaftar dengan aplikasi itu terus meningkat dalam tempoh 3 minggu lepas.

Beliau berkata, namun jumlah daftar masuk di premis seperti kedai makan, pasar raya dan sebagainya menunjukkan trend menurun.

“Ini menunjukkan pematuhan SOP kian berkurangan. Pemilik premis dan masyarakat diingatkan supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan supaya kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan wabak itu dalam masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.