
Pesuruhjaya kehakiman Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Akberdin Abdul Kader yang bertindak bagi pihak Zakir sebagai plaintif dan peguam Tharumarajah Thiagarajan mewakili defendan.
Raveentharan memfailkan permohonan itu pada 28 Jan lepas.
Akberdin ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu kerana defendan dan saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan berasal dari Pulau Pinang.
Bagaimanapun, peguam itu berkata, anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan memohon prosiding di mahkamah Pulau Pinang ditangguhkan sehingga rayuan selesai.
Pada 12 Dis tahun lepas, Zakir memfailkan saman terhadap Raveentharan atas dakwaan memuat naik 5 kenyataan fitnah di Facebook antara 13 dan 17 Okt tahun lepas.
Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa 5 kenyataan itu dilakukan dengan niat jahat, kebencian, iri hati, tanpa membuat pengesahan daripadanya berhubung kebenaran dan kesahihan dakwaan dalam hantaran tersebut.
Dakwanya, defendan melalui 5 kenyataan yang dimuat naik itu, menggambarkan bahawa dirinya sebagai orang yang jahat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara, keamanan, dan keharmonian di Malaysia.
Zakir mendakwa kelima-lima kenyataan itu tidak berasas, tidak benar, rekaan, palsu, keseluruhannya dibuat-buat, telah diubah dan cenderung untuk memenuhi agenda defendan.
Plaintif menuntut injunksi mandatori terhadap defendan untuk memaksanya mengeluarkan 5 kenyataan fitnah itu daripada laman sesawang, media sosial atau mana-mana medium yang berkaitan dalam masa 7 hari daripada tarikh penghakiman, selain menuntut ganti rugi am, teruk, teladan dan pampasan, serta relif lain.