Kerajaan pertimbang gubal akta baru berkaitan dadah

Kerajaan pertimbang gubal akta baru berkaitan dadah

Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang bersetuju dengan cadangan menggubal Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2020.

Hamzah Zainudin berkata, akta baru itu akan meningkatkan keberkesanan menyedia dan menambah baik akses kepada rawatan serta pemulihan dadah.
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang hari ini bersetuju dengan cadangan menggubal akta baru dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2020.

“Akta baru ini akan meningkatkan keberkesanan dalam menyediakan dan menambah baik akses kepada rawatan serta pemulihan dadah,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Hamzah berkata, jawatankuasa itu juga membincangkan pengukuhan pelbagai undang-undang dan langkah penguatkuasaan berkaitan peningkatan bahan psikoaktif, termasuk kratom dan ketum di bawah Akta Racun 1952.

Beliau berkata, 2 jawatankuasa teknikal yang terdiri daripada pegawai pelbagai kementerian akan dibentuk untuk meneliti perkara itu.

Katanya, keputusan Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.