Perjuang sekurang-kurang 1/3 kerusi Parlimen, Sarawak beritahu Sabah

Perjuang sekurang-kurang 1/3 kerusi Parlimen, Sarawak beritahu Sabah

Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini berkata, Sarawak akan memperjuangkan haknya bagi mengembalikan 1/3 perwakilan di Parlimen dari Malaysia Timur.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing berkata, 2 negeri Malaysia Timur itu mesti melindungi hak mereka.
KUCHING:
Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing menggesa Sabah bekerjasama dengan negeri itu bagi memastikan mereka memperoleh sekurang-kurangnya 1/3 daripada 222 kerusi Parlimen.

“Kita mesti perjuangkan kedudukan itu bagi melindungi hak kita dan Sabah harus menyertai kami dalam usaha ini. Sabah harus berhenti mengambil kesempatan atas usaha kami,” kata Masing dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Abang Johari Openg sebelum ini berkata, Sarawak akan terus memperjuangkan haknya bagi mengembalikan 1/3 perwakilan di Parlimen dari Malaysia Timur.

Masing berkata, sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, Malaya mempunyai kurang daripada 2/3 kerusi Parlimen.

“Oleh sebab itu, penggubal undang-undang tidak boleh meminda perlembagaan persekutuan tanpa sokongan ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Bagaimanapun, susulan keluarnya Singapura, 15 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepadanya diambil oleh Malaya dan tidak diberikan kepada Sarawak dan Sabah,” katanya.

Ini melahirkan “keadaan berbahaya” yang merugikan Sabah dan Sarawak kerana Parlimen boleh meluluskan undang-undang yang berlawanan dengan kepentingan 2 negeri itu.

Pada masa ini Sarawak mempunyai 31 ahli Parlimen dan Sabah 25.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.