
Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth berkata demikian ketika ditanya pegawai pengendali inkues, Badiuszaman Ahmad mengenai kemungkinan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, Hiu berkata beliau tidak memeriksa saiz mesin basuh itu yang dilihatnya di tingkat bawah asrama ketika pemeriksaan lokasi dimana Zara ditemukan tidak sedarkan diri.
Katanya, beliau melihat mesin basuh jenis domestik itu ditingkat bawah berdepan dengan tangga tetapi tidak ingat ada berapa banyak unit dan saiz peralatan itu.
Badiuszaman: Ada kemungkinan si mati dimasuk ke dalam mesin basuh?
Hiu: Saya tidak memeriksa saiz tong, tapi saya diberitahu berat Zara ialah 53kg. Saya tidak tahu berat 53kg boleh muat dalam mesin basuh itu. Tapi, saya tidak percaya ia boleh dihidupkan dengan berat 53kg.
Hiu menyambung keterangannya pada hari kedua inkues itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lepas, selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Dia meninggal dunia di sebuah hospital di Kota Kinabalu pada keesokan harinya.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos untuk bedah siasat selepas timbulnya dakwaan dia dibuli.
Prosiding inkues berhubung kematiannya dijadualkan berlangsung pada 3, 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19, dan 22 hingga 30 Sept.