10 tip penjagaan gigi mesti tahu

10 tip penjagaan gigi mesti tahu

Penjagaan gigi yang tidak betul akan mengundang masalah gigi yang serius.

Ketahui penjagaan gigi yang betul untuk kesihatan gigi maksimum.

Betul atau tidak cara anda menjaga kesihatan gigi? Mungkin ramai yang menjawab betul, tapi hakikatnya teknik atau cara yang dipraktiskan tidak betul.

Tahukah anda walaupun di pasaran terdapat berus gigi “soft”, “medium” dan “hard”, doktor gigi hanya menyarankan berus gigi “soft” atau lembut untuk memberus gigi.

Berikut tip penjagaan gigi yang tepat untuk diamalkan.

Tip penjagaan gigi ini dikongsi oleh Dr. Irma Shida Abu Samah, seorang doktor gigi yang juga merupakan pengasas kepada produk penjagaan wajah.

Dr. Irma Shida mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang pergigian.

  1. Berus gigi setiap kali bangun tidur dan sebelum tidur. Gunakan ubat gigi berflourida. Jangan lupa berus permukaan lidah untuk hilangkan bau mulut.
  2. Pilih berus yang lembut dan berus dengan gerakan menegak untuk mengelakkan permukaan gigi haus dan menyebabkan gigi ngilu.
  3. “Floss” setiap malam sebelum memberus gigi sebelum tidur untuk menanggalkan makanan terlekat di celah gigi yang boleh menyebabkan bau mulut. Gunakan “floss” yang bersalut lilin untuk mengelakkan gusi terluka.
  4. Gunakan ubat kumur untuk kesegaran nafas. Bagaimanapun ubat kumur sahaja tidak cukup untuk menghilangkan sisa-sisa makanan pada gigi.
  5. Minum teh hijau kerana ada “polifenol catechin” yang menggalakkan aliran air liur sekaligus mengurangkan lekatan plak pada gigi.
  6. Kurangkan makanan manis yang sering melekat pada gigi apabila dikunyah. Ini kerana gula yang melekat pada gigi boleh mengundang masalah gigi berlubang.
  7. Kurangkan tekanan dalam kehidupan seharian dan pastikan tidur yang mencukupi untuk mengelakkan tabiat mengisar gigi waktu tidur yang menyebabkan gigi menjadi pendek dan ngilu.
  8. Kurangkan pengambilan air berkarbonat kerana kandungan asidnya menyebabkan gigi lebih rapuh dan lembut sekaligus lebih mudah terhakis dan berlubang.
  9. Minum air kosong setiap kali selepas makan dan minum air manis untuk membilas mulut sekaligus mengurangkan plak dan bau mulut.
  10. Pastikan jumpa doktor gigi setiap 6 bulan untuk pemeriksaan gigi supaya gigi kekal sihat dan lakukan rawatan “scaling” (cuci karang gigi).

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.