Perang mulut isu takbir, 2 Ahli Parlimen diarah keluar Dewan

Perang mulut isu takbir, 2 Ahli Parlimen diarah keluar Dewan

Mohd Sany Hamzan dan Misbahul Munir Masduki ingkar arahan duduk walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian oleh speaker Dewan.

Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) diarah keluar Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Dua Ahli Parlimen diarahkan keluar Dewan Rakyat selepas “berperang mulut” mengenai isu Qunut Nazilah dan takbir di sekolah.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengarahkan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) keluar Dewan selepas ingkar arahan untuk duduk dan terus berperang mulut walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian.

“Hulu Langat, Parit Buntar keluar sekarang, esok masuk balik, dua-dua keluar minum kopi di luar,” kata Johari.

Kekecohan tercetus apabila Misbahul meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar menjelaskan sama ada beliau setuju dengan “larangan” membaca Qunut Nazilah dan takbir di sekolah, merujuk Minggu Solidariti Palestin.

“Saya minta pandangan menteri hal ehwal agama, untuk doa Qunut Nazilah dan takbir yang tidak dibenarkan oleh menteri pendidikan. Saya harap menteri hal ehwal agama tidak menghalang pelajar sekolah agama melaungkan takbir dan Qunut Nazilah kerana ia diajar oleh sunnah Rasulullah.

“Takbir ialah laungan membesarkan Allah, maknanya Allah. Mengapa ia tidak dibenarkan ketika Palestin ditimpa musibah,” katanya ketika membahaskan
Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa.

Beliau merujuk ucapan Fadhlina Sidek sebelum ini yang meminta semua pihak tidak bising jika sekolah tiada takbir dan Qunut Nazilah pada Minggu Solidariti Palestin.

Berang dakwaan itu, Sany bangkit mencelah dengan menuduh Misbahul memfitnah menteri pendidikan kononnya melarang Qunut Nazilah dan takbir di sekolah.

“Ini mengelirukan…apa yang dikatakan mengelirukan, fitnah dalam Dewan ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang turut mecelah menyifatkan “larangan” tersebut sebagai tidak betul.

Misbahul kemudian meminta Sany dan Fahmi serta beberapa wakil kerajaan lain tidak mengganggu perbahasannya.

“Saya tidak tanya menteri komunikasi, ini seorang menteri tidak reti peraturan. Kalau tidak betul (menteri boleh) jawab waktu penggulungan.

“Saya cuma nak bagi tahu disunatkan baca (Qunut Nazilah) ketika solat fardu sebab kita menuntut dalam doa itu supaya Allah beri pertolongan dan kemenangan kepada Palestin dan membinasakan Zionis Israel,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.