
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, kes HFMD tahun lalu bagi tempoh sama sebanyak 27,236 dan ini menunjukkan peningkatan 266%.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 89,180 atau 90% adalah kes yang berlaku secara sporadik dan 10,421 (10%) berkaitan wabak.
Menurutnya, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi HFMD iaitu 27,118 kes atau 27.2%.
“Ini diikuti Johor dengan 9,864 kes (9.9%), Perak 9,347 (9.4%), Kelantan 7,147 (7.2%) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 6,850 (6.9%).
“Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh sama pada 2024 iaitu peningkatan 49%,” katanya.
Sementara itu, KKM berkata daripada keseluruhan wabak, sebanyak 578 berlaku di taska iaitu 22%, 480 di tadika (18%), 292 di tabika (11%), dan 251 di prasekolah (9%).
Setakat ini tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan.
“Sebanyak 38,285 premis diperiksa di seluruh negara melibatkan taska, tadika, tabika, prasekolah dan rumah kediaman.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,140 (3%) premis diarahkan tutup bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), manakala 430 (1%) premis lagi ditutup secara sukarela,” katanya.
KKM menyarankan ibu bapa dan penjaga mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
“Ibu bapa dan penjaga juga perlu memastikan permainan, bilik air, dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi.
“Barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi. Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan HFMD boleh dicapai di laman infosihat.moh.gov.my dan facebook KKM.