Telefon di hotel bajet akhirnya berdering

Telefon di hotel bajet akhirnya berdering

Kebanyakan tempahan bilik di bandar peranginan seperti Port Dickson, Genting Highlands, dan Cameron Highlands.

PETALING JAYA:
Selepas berbulan-bulan “sunyi”, telefon di hotel bajet akhirnya berdering menandakan orang ramai mula membuat tempahan bilik dan dewan mesyuarat.

Presiden Persatuan Hotel Bajet, Emmy Suraya Hussein berkata, walaupun tempahan masih rendah namun pengusaha boleh menarik nafas lega kerana mereka kini ditanya mengenai harga bilik dan peraturan penggunaan kemudahan seperti dewan mesyuarat.

Katanya, kebanyakan yang membuat panggilan bertanya lebih terperinci norma bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Mereka juga ingin tahu adakah kami sudah membenarkan aktiviti luar, zumba, adakah kolam renang dibuka, atau adakah makanan disajikan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Bawah PKPP berakhir 31 Ogos ini, pihak hotel hanya dibenar menyediakan makanan berbungkus kepada tetamu.

Kebanyakan tempahan bilik di bandar peranginan seperti Port Dickson, Genting Highlands, dan Cameron Highlands.

“Telefon hotel di Kuala Lumpur dan beberapa bandar kecil masih sunyi,” katanya.

Mengenai tempahan dalam talian pula, beliau memaklumkan berlaku peningkatan terutama bagi Aidiladha dan hujung bulan ini.

Bagaimanapun ia tidak mampu untuk menanggung overhed.

Katanya, pengusaha hotel percaya rakyat masih bimbang dijangkiti Covid-19 atau berhati-hati mengatur perbelanjaan.

“Kami tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik saja. Keuntungan kami juga daripada pelanggan luar negara yang berterusan,” katanya.

Hotel bajet bertaraf tiga bintang dan ke bawah. Bayaran bilik dikenakan antara RM50 hingga RM180 per malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.