4 rakan edar dadah 9 tahun tumpas

4 rakan edar dadah 9 tahun tumpas

Polis berkata kumpulan itu sukar dikesan kerana menyewa kereta dan hotel bajet berbeza untuk menghantar bekalan dadah.

Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman (dua dari kiri) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat rakan yang bergiat aktif mengedar dadah sejak sembilan tahun lalu ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, berkata tiga lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 39 tahun ditahan dalam dua serbuan di sekitar Sepang bermula 6 petang hingga 10.50 malam Rabu, dengan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM36,500 ditemui.

“Semua suspek dari sebuah kampung sama dan berkawan baik sejak kecil.

“Kumpulan pengedaran dadah ini dipercayai aktif sejak 2016 dan bertindak sebagai ‘transporter’ dengan bayaran RM1,600 untuk satu penghantaran dadah,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar di IPD Sepang.

Beliau berkata, kumpulan itu sukar dikesan kerana menyewa kereta dan hotel bajet berbeza untuk menghantar bekalan dadah.

Katanya, dua daripada empat sahabat baik itu merupakan pasangan suami isteri dan saringan awal air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif amphetamine serta methamphetamine.

Menurutnya, seorang suspek mempunyai enam rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi mempunyai lapan rekod lampau, dengan kedua-duanya dikehendaki polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.