
Beliau, yang juga ahli majlis kerja tertinggi Umno dan setiausaha agung Barisan Nasional, berkata seruan itu “pandangan peribadi” beliau.
“Kita telah mengulangi sokongan kita pada perdana menteri,” kata Annuar, katanya merujuk kepada Umno dan BN.
“Kita sebahagian dari gabungan Perikatan Nasional dan pendirian kita kerajaan harus beri tumpuan pada masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas perasmian pameran kartun di Taman Botani Perdana hari ini.
Semalam, Mohamad menggesa PN membubarkan Parlimen kerana kedudukan politik Malaysia dikatakan “sangat tidak stabil”, sesuatu yang tidak pernah berlaku sejak Merdeka.
Mohamad berkata keadaan sekarang sangat menyukarkan kerajaan untuk meluluskan rang undang-undang yang kritikal, termasuklah membentangkan belanjawan, sedangkan negara menghadapi kemelesetan ekonomi.
Annuar juga menegaskan Muafakat Nasional komited untuk mendokong kuat kerajaan PN, dan buat masa ini soal membubarkan Parlimen “tidak berbangkit”.
“Sebab kita sudah ada perdana menteri dan kerajaan. Tidak timbul soal ketidakstabilan. Saya tengok kerajaan ini mantap, jumlah sokongan semakin bertambah, dan jumlah kerusi pun makin bertambah,” katanya.
Annuar juga menyeru permainan politik dikurangkan, “supaya kerajaan menumpukan perhatian menyelesaikan masalah rakyat”.
Kampung Baru
Sementara itu, mengenai pembangunan semula Kampung Baru di ibu negara, Annuar mahu melihat laporan penuh terlebih dulu sebelum meneruskan atau tidak rancangan itu.
Annuar meminta Perbadanan Kampung Baru menyediakan laporan dan perkembangan kepada apa-apa yang dirancang sebelum daripada ini.
“Supaya mereka membuat suatu perakuan apakah idea-idea yang diuar-uarkan sebelum daripada ini boleh diteruskan atau tidak,” katanya.
Annuar juga berkata beliau dimaklumkan hanya 61% pemilik setuju menjual tanah mereka.
“Dalam prinsip membeli secara sukarela antara persetujuan rela hati oleh pembeli dan pemaju, 100% kena setuju. Kalau satu daripada keluarga tak setuju, proses menjual beli tak dapat dilakukan,” katanya.
Annuar juga mahu melihat kesediaan dana.
“Katalah 100% setuju, adakah kita ada sumber dana? Kalau tak ada sumber dana setuju pun tak ada makna,” katanya.
Annuar juga mahu melihat konsep yang dicadangkan sebelum ini realistik atau tidak.
“Tanpa prejudis biarlah Kampung Baru kemukakan laporan perkembangan itu dan saya akan maklumkan kepada jemaah menteri.
“Sekiranya apa yang dilakukan itu atas jua sebab tak dapat diteruskan, maka kerajaan akan cuba runding dengan penduduk untuk satu pendekatan alternatif diperkenalkan,” katanya.