Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan

Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan

Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala.

Laut Malaysia instead of South China Sea
Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan berkata Kod Tatalaku Laut China Selatan bagi memastikan perairan itu kekal laluan perdagangan selamat, bebas dan aman digunakan semua pihak.
KUALA LUMPUR:
Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan yang dijangka dimuktamadkan tahun ini bukan instrumen menyelesaikan pertindihan kawasan, sebaliknya kerangka bagi memastikan perairan itu kekal laluan perdagangan selamat, bebas dan aman digunakan semua pihak, kata Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan.

Beliau berkata, pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala CoC berperanan menetapkan prinsip tatalaku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan itu.

“Negara kita, Malaysia, merupakan ‘country coordinator’ bersama China. Kita berusaha dan telah menjalankan apa yang dikenali sebagai ‘Rapid Discussion Group’ serta Jawatankuasa ‘Joint Working Group on CoC’.

“Jadi, saya yakin banyak terma dalam CoC telah mendapat persetujuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Mohamad menjawab soalan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung perkembangan terkini rundingan CoC di Laut China Selatan, termasuk peranan Malaysia, kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh dan langkah kerajaan menanganinya.

Katanya, rundingan CoC Laut China Selatan mencapai kemajuan ketara dengan hampir 70% kandungan berjaya diselesaikan, tetapi memerlukan rundingan teliti bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas.

Beliau berkata, Asean melihat dua instrumen itu asas bersama dalam mengurus Laut China Selatan, iaitu Document of Conduct yang diwujudkan pada 2002 dan rundingan ke arah memuktamadkan CoC.

Menurutnya, antara komponen utama dua dokumen itu ialah prinsip serta objektif tatalaku pihak terlibat di Laut China Selatan, selain langkah membina keyakinan dan pendekatan kawalan selamat bagi memastikan tiada tindakan mencetuskan ketegangan.

Sementara itu, Mohamad berkata, latihan ketenteraan di Laut China Selatan akan terus dilaksanakan secara berkala melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala, tetap tidak akan dijadikan tindakan provokasi terhadap mana-mana negara kerana kestabilan perairan serantau kekal keutamaan negara maritim.

Beliau berkata, Malaysia mungkin mengadakan latihan di perairan itu, namun ia bukan perkara baharu, tidak tertumpu kepada satu negara dan turut membabitkan operasi laut serta udara, termasuk latihan bersama mengikut keperluan.

“Melaksanakan latihan dengan sebuah negara untuk menunjukkan provokasi kepada negara lain bukan agenda kita. Kita memerlukan keadaan aman di perairan kita.”

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai hala tuju negara, jika latihan ketenteraan diadakan di perairan itu serta tindakan kerajaan menangani pencerobohan kapal dan sama ada Malaysia menetapkan garis merah dalam rundingan CoC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.