Mahkamah tangguh kes selepas menteri Sabah dirawat di hospital akibat vertigo

Mahkamah tangguh kes selepas menteri Sabah dirawat di hospital akibat vertigo

Mahkamah menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes Peter Anthony.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Peter Anthony sepatutnya menaiki pesawat ke Kuala Lumpur petang semalam.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sebutan kes Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Peter Anthony selepas peguamnya memaklumkan beliau dimasukkan ke Hospital Kota Kinabalu kerana menghidap simptom vertigo.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, naib presiden Warisan itu sepatutnya menaiki pesawat ke Kuala Lumpur petang semalam.

Mahkamah menetapkan 10 Julai sebagai tarikh baru selepas dimaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu.

Haniff berkata, sijil sakit Anthony akan diserahkan kepada mahkamah secepat mungkin selepas dikeluarkan doktornya.

Peter Anthony

Semalam, FMT melaporkan Anthony dijangka didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana “menggunakan dokumen palsu”

Hukuman maksimum untuk kesalahan itu ialah penjara 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan baru ini tiada kaitan dengan perjanjian pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), di mana Anthony berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM8.75 juta pada minggu lalu.

Beliau turut didakwa bersubahat dengan peguam Micheal Persius Ubu atas pertuduhan pecah amanah.

Perjanjian pembelian tanah Risda bernilai RM155 juta itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara 2017 dan 2018. Ubu tiada di Sabah ketika agensi anti-rasuah itu mencarinya untuk membantu siasatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.