14 ditahan daki hutan simpan di Perak tanpa kebenaran

14 ditahan daki hutan simpan di Perak tanpa kebenaran

Jabatan Perhutanan Perak mengingatkan orang ramai walaupun aktiviti pendakian dibenarkan semasa PKPP, tetapi memasuki kawasan hutan simpanan kekal perlu mempunyai kelulusan Pejabat Hutan Daerah.

Semua 14 individu berumur 23 hingga 65 tahun kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis.
IPOH:
Seramai 14 individu, termasuk 6 wanita ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Bujang Melaka di Kampar dengan melakukan aktiviti pendakian tanpa kebenaran pada Jumaat lalu.

Jabatan Perhutanan Perak berkata, kumpulan yang terdiri daripada individu berumur 23 hingga 65 tahun itu ditahan penguat kuasa dari Pejabat Hutan Kinta Manjung semasa kerja semakan dan pemantauan selepas menerima maklumat awam.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pendakian mereka bermula dari Tanah Milik Sahom Valley Resort di Kampar dan seterusnya ke Batu Dinding berhampiran puncak Gunung Bujang Melaka,” demikian menurut kenyataan jabatan itu malam tadi.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Dipang, Kampar dan semua 14 individu yang ditahan itu dilepaskan dengan jaminan polis.

Jabatan itu berkata, semua individu itu boleh didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tanpa permit dan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jabatan Perhutanan Perak turut memberi peringatan kepada orang awam walaupun aktiviti pendakian dibenarkan semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), namun memasuki kawasan hutan simpanan kekal perlu mempunyai kelulusan melalui Pejabat Hutan Daerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.