Riza Aziz bayar AS$40 juta lebih daripada AS$248 juta, kata Shafee

Riza Aziz bayar AS$40 juta lebih daripada AS$248 juta, kata Shafee

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, Riza juga menyerahkan semua aset di AS dan Malaysia kepada kerajaan sebagai langkah penyelesaian.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan Riza Aziz daripada 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.
PETALING JAYA:
Peguam mewakili Riza Aziz, Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan anak guamnya sudah menyerahkan semua aset di Amerika Syarikat dan Malaysia kepada Putrajaya sebagai usaha penyelesaian kes di peringkat global.

Shafee berkata, sebagai langkah penyelesaian, Riza sudah membayar atau bersetuju untuk membayar AS$40 juta lebih daripada jumlah AS$248 juta, yang terkandung dalam 5 tuduhan pengubahan wang yang dihadapinya di mahkamah.

“Ketika Riza dilepas tanpa dibebaskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, beliau menyerahkan semua aset di Amerika Syarikat dan Malaysia kepada kerajaan sebagai penyelesaian.

“Bagi mereka yang berpendapat Riza memperoleh keuntungan dengan keputusan ini, anda harus membuat kiraan dengan betul. Dengan penyelesaian global ini, Riza membayar atau setuju melepaskan AS$40 juta lebih daripada jumlah AS$248 juta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Mei, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan untuk melepaskan tanpa membebaskan Riza yang berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas pendakwaraya ad hoc, Gopal Sri Ram beritahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee berkata, semua ini dilakukan kerana Riza sendiri ingin menjauhkan diri daripada “mimpi buruk” yang melanda dirinya sejak sekian lama dan ingin memulakan kehidupan baru.

“Semua ini kerana beliau mahu menjauhkan diri daripada ‘mimpi buruk’. Langkah penyelesaian, termasuk yang dicapai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dilakukan dengan tujuan memberi kelegaan kepadanya.

“Ini supaya beliau dapat memulakan kehidupan baru dan meneruskan minatnya.

“Riza kekal dengan pengakuan tidak bersalah daripada melakukan sebarang perbuatan jenayah dan dengan sebab itu dia bersetuju dengan persetujuan kompaun, yang tidak membawa sebarang sabitan dalam undang-undang,” katanya.

Shafee berkata, adalah sukar untuk mensabitkan Riza di bawah pertuduhan jenayah dan ini terbukti apabila Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat hanya memutuskan untuk mengambil tindakan di bawah undang-undang pelucutan hak sivil.

“Selain penerimaan dana dalam 5 tuduhan itu, pihak pendakwaan juga harus membuktikan Riza memiliki pengetahuan bahawa dana diterimanya itu adalah hasil daripada aktiviti haram yang dilakukan beliau sendiri atau pihak lain.

“Ini merupakan tugas besar kerana penjelasan Riza kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada peringkat awal adalah dana pinjaman yang diberikan kepada syarikat produksi filemnya, Red Granite Productions Incs, adalah untuk bertujuan produksi filem,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.