Ketua jenama utama bincang cara pusat beli-belah beroperasi semula

Ketua jenama utama bincang cara pusat beli-belah beroperasi semula

Cabaran terbesar bagi pusat beli-belah dan peruncit ialah menarik pelanggan.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Beli-belah Sunway, Kevin Tan berkata, keyakinan dalam tahap kesihatan dan keselamatan di pusat beli-belah dan kedai peruncitan akan membantu menarik pelanggan.
PETALING JAYA:
Ketua beberapa jenama peruncitan utama mula mengadakan perbincangan mengenai cara memulakan operasi semula di pusat beli-belah apabila sekatan ke atas aktiviti perniagaan dilonggarkan mulai Isnin ini.

Ng Yih Pyng, pengarah urusan kedai barang kemas Tomei, berkata pematuhan ketat terhadap garis panduan kerajaan diperlukan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.

Jika tidak, katanya, pelaksanaan semula sekatan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) akan terus menjejaskan ekonomi, kuasa membeli rakyat dan sentimen pengguna.

“Kita semua sudah melalui PKP, jadi kita tahu apa yang perlu dijangka dan cara bertindak balas. Tetapi, dari perspektif sebuah syarikat, satu lagi PKP akan merosakkan ekonomi lagi,” katanya dalam perbincangan atas talian anjuran Pusat Beli-belah Sunway Pyramid.

Ketua Pegawai Operasi Pusat Beli-belah Sunway, Kevin Tan bersetuju pusat beli-belah serta peruncit perlu mematuhi prosedur itu dan pencegahan lebih baik daripada rawatan.

Ng berkata, cabaran terbesar bagi pusat beli-belah dan peruncit ialah menarik pelanggan.

Tan berkata: “Penting untuk memasarkan pusat beli-belah sebagai tempat yang sangat selamat. Kita buat begini untuk menenang dan meyakinkan rakyat yang ia selamat untuk datang ke pusat beli-belah, seperti sebelumnya.”

Katanya, keyakinan dalam tahap kesihatan dan keselamatan di pusat beli-belah dan kedai peruncitan akan membantu menarik pelanggan.

Benjamin Yong, pengarah rantaian pakaian dan fesyen Padini, berkata memaklumkan pelanggan mengenai protokol keselamatan dan melaksanakan protokol itu juga akan membantu meningkatkan keyakinan pelanggan serta jualan, khasnya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Ia adalah sesuatu yang sihat untuk memberitahu pelanggan kami mempunyai SOP ini dan itu. Dengan itu, pelanggan akan lebih yakin dan mula membeli-belah semula.”

Bagaimanapun, Daniel Chiang, pengarah eksekutif rantaian fesyen dan pakaian Bonia, berkata usaha pemasaran tidak patut keterlaluan.

Katanya, sumber pendapatan rakyat dan kebimbangan terhadap jangkitan akan kekal menjadi kebimbangan utama selepas PKP berakhir.

“Orang lain mempunyai isu lebih mendesak untuk ditangani ketika ini. Keutamaan masih perlu diberikan untuk memastikan amalan kebersihan terbaik bagi memberi ketenangan kepada pembeli.”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.