Sarawak tidak benar operasi perniagaan, laksana PKPB pada 4 Mei

Sarawak tidak benar operasi perniagaan, laksana PKPB pada 4 Mei

Kerajaan negeri berkata, dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik dan keadaan geografi, standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi terlebih dahulu.
KUCHING:
Sarawak memutuskan tidak akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) serta membuka semula sektor dan aktiviti ekonomi tertentu Isnin ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Douglas Uggah Embas berkata, keputusan di bawah 3 fasa terakhir MCO akan dikekalkan sehingga kajian kerajaan negeri mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi selesai.

“Dengan mengambil kira keadaan di Sarawak dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik, kemampuan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi, SDMC mendapati kebanyakan standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Uggah yang juga timbalan ketua menteri Sarawak berkata, SDMC perlu memastikan pembukaan semula sektor dan kegiatan ekonomi sesuai dengan keadaan negeri dan pembukaan semula kegiatan ekonomi akan diumumkan secara berperingkat setelah setiap perincian prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan diteliti.

“Selain itu, pihak yang mendapat kelulusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) semasa PKP 4, perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri melalui SDMC untuk diteliti permohonan mereka sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.